'Tentang Aku'


Wah diam tak diam rupanya dah setahun juga aku tinggalkan dunia blog ni sepi. Kalau begini gayanya nak jadi penulis memang tak boleh nak cari makan. Kalau sesekali muncul tapi 'bestseller' ker 'top seller' ker lain cerita lah. Ahaks~ Dari dulu sampai sekarang masih lagi menyimpan cita-cita kecil nak jadi penulis novel kononnya. Tapi mama kata sampai sekarang pun belum juga ada hasilnya. Cerita 'Bila Hujan' yang pernah meletop sekejap dulu dah jadi 'Bila Kemarau' pun kata mama. Adui sesedap rasa aje mama tu kompelin kat anak dia seorang ni. Macam lah mama tak tau yang selama 4 tahun ni anak dia bertungkus lumus nak siapkan phd. Mana lah ada masa nak berjiwang bagai kalau setiap hari kerjanya mengadap bahan kimia itu dan ini dan bermain dengan mesin saja. Mujurlah dapat hantar tesis akhir tu walaupun terpaksa melalui pelbagai kesulitan, kepahitan dan kesedihan yang mendalam di saat 6 bulan terakhir pengajian. Itulah yang membuatkan aku menyepi dari blog ni. Bukannya tiada perkara untuk dicatatkan atau dicoretkan. Lagi-lagi dalam keadaan penuh emosi begitu tentu banyak saja halnya. Tapi, kerana rasa sedih itu terlalu agung biarlah aku menanggung sendirian. Amboi, ada ke frasa 'rasa sedih itu terlalu agung'. Nampak sangat macam tak redha aje dengan ketentuan Tuhan. Astagfirullah... Aku redha saja tapi manusia yang berhati lemah macam aku tentulah diulit kesedihan. Tentang kesedihan itu nanti-natilah ya aku ceritakan. Kalau semua diluahkan awal-awal tentu tak ada lagi yang ingin datang membaca. Hehehe...

Tapi bab 'Bila Kemarau' yang mama sebut tu memang betul pun. Sejak hampir 6 bulan kembali ke Malaysia, memang sungguh aku tak tahan. Panasnya.... ya Allah....sungguh luar biasa sekali! Atau aku kah yang sudah lupa kehangatan mentari di Malaysia ini? Maklumlah sudah 4 tahun duduk di negara 4 musim. Sudah terbiasa dengan iklim berhawa dingin sampai kulit jadi tak biasa dengan cuaca panas dan lembap ni. Walaupun baru lepas mandi, tapi sekejap aja sudah berpeluh! Kalau tak ada penghawa dingin memang macam nak mati rasanya. Melampau sungguh aku ni kan. Dan papa pula asyik kompelin bila dua tiga bulan ni bil elektrik naik semacam. Kononnya ada orang pasang air cond non-stop! Sudahlah pasang air cond, kipas di siling pun dibuka juga. Memanglah bil elektrik boleh melambung tinggi. Ikut hati aku lah, kalau ada kolam renang ais kat rumah mama ni dah lama aku terjun menyelam! Betul-betul panas! 

Lepas 3 bulan balik dan berehat-rehat aku dipanggil bertugas semula. Belum puas pun berehat lagi apatah lagi menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Penat 4 tahun belajar ni pun tak hilang lagi sebenarnya. Tapi, demi negara bangsa ku gagahkan diri melangkah nun jauh di pedalaman! Walaupun masih di semenanjung tapi orang-orang bandar pasti menggelar kawasan ini sebagai 'tempat jin bertandang'. Haha! Sebab tu aku terpaksa merahsiakan dulu nama tempat ni. Takut-takut dari kalangan pembaca memang asal orang sini. Tentu awal-awal lagi tergores hatinya dan tak mahu membaca tulisan aku lagi. Tapi lambat laun korang akan tahu juga. Cuma aku harap masa tu aku akan lebih mencintai tempat ni walaupun sebenarnya rasa cinta tak boleh dipaksa!

Bukan aku membenci tempat ni sebab dia hutan. Aku ni sebenarnya pencinta alam sekitar. Dah memang bidang aku pun kaji alam sekitara. Suka dengan suasana kehijauan, bukit bukau dan lautan yang membiru. Cuma tempat ni awal-awal lagi memang takda laut. Jadi tiada tempat untuk aku membuang segala duka dan resah nestapa. Kalau di sana dulu aku tinggal di persisiran pantai. Unit apartment aku betul-betul mengadap laut nan biru. Walaupun dulu kawasan aku tinggal tu bukanlah terletak di tengah kota seperti Sydney atau Melbourne tapi fasilitinya lengkap. Banyak deretan cafe dengan bau kopi yang mengoda, walaupun aku bukanlah penggemar kopi tapi baunya memang aku gemari. Selain itu ada bakeri juga pasaraya yang besar untuk membeli belah segala barang keperluan. Ada 'botanic garden' yang sederhana besar tapi sangat indah terletak betul-betul bertentangan dengan kampus tempat aku belajar. Boleh dikatakan segala-galanya indah di sana. Itulah yang membuatkan aku selalu membeza-bezakan dan menjadi kurang suka tinggal di sini. Desa yang panas, tiada pantai. Hanya di kelilingi bukit bukau. Malah pasaraya pun tiada. Hanya kedai runcit biasa yang harga barangnya lebih mahal dari beli di pasaraya! Tempat liburan memang tiada apatah lagi deretan cafe. Hanya warung-warung kecil tepi jalan yang tiada minuman coklat panas atau sejuk kesukaan aku, hanya ada 'milo' sebagai pengganti. Walhal sejak 4 tahun yang lalu aku sudah boikot milo sebab Nestle itu kan produk yahudi! Tapi, sekarang aku terpaksa minum balik kerana itu sahaja pilihan yang ada. Sedih kan? 

Aku juga sudah tidak jumpa lagi mana-mana kedai yang menjual sandwich, croissant, scone atau apa-apa roti, pastri dan kek yang lazat. Juga kebab, turkish pide dan salmon roll. Sarapan pagi di sini adalah nasi berlauk. Walaupun terdapat beraneka jenis lauk pauk namun sedikit pun tidak dapat membuka selera aku yang sudah jadi macam minah saleh ni. Sebelah petangnya pula kuih muih tradisi Melayu. Tapi kuih muih di sini semuanya manis-manis belaka. Sampai ke inti karipap pun terasa manis. Kalau kuih yang memang manis, di sini jadi terlebih-lebih manisnya. Adoi boleh kencing manis dibuatnya! (Tentu korang boleh agak aku di negeri mana sekarang ni!). Tapi, mulut aku memang dari dulu lagi tak gemar kuih tradisi. Tak tahulah kenapa. Jadi semasa 4 tahun di sana aku tak rindu apa lagi kempunan nak makan karipap ke kuih talam ke kuih lapis ke onde-onde ker. Malah masakan Melayu pun aku tak rindu kecuali nasi lemak dan roti canai! Tak seperti kawan-kawan aku yang lain. Ada saja masakan Malaysia yang mereka idamkan. Sampai sanggup ke Sydney untuk mencari. Sudahlah harganya berkali ganda mahal tapi sebab anak sejati Malaya mereka sanggup tapi tidak aku. Apakah aku bukan anak sejati Malaya seperti mereka? Atau aku sudah terbiasa dengan roti dan pasta? Entahlah.....

Sebenarnya bukan soal cuaca atau makanan sahaja yang buat aku tak suka, tapi juga budaya dan pemikiran masyarakat di sini. Masyarakat di sini atau sebenarnya rakyat Malaya kala ini aku sendiri tidak pasti. Yang aku pasti, aku tidak suka cara pemanduan orang-orang di sini. Memang tak ikut undang-undang langsung! malah membahayakan pemandu yang lain pula. Keluar masuk simpang tanpa memberi isyarat lampu menjadi perkara biasa. Sampai kadang-kadang aku terpaksa brek mengejut. Memotong di garisan double line itu normal di sini. Walaupun di hadapan sana terang lagi bersuluh ada kenderaan yang datang dari arah bertentangan tapi mereka tetap memotong. Kenderaan bertentangan pula yang terpaksa mengelak masuk ke tepi memberi laluan. Ini sangat membahayakan. Memang tak heran kalau kadar kemalangan di sini tinggi. Aku yang dulunya tenang-tenang saja membawa kenderaan kini laju saja mulut menyumpah seranah orang. Sungguh di sini sabarku hilang begitu mudah!

Bukan isu pemanduan saja yang buat aku menyampah tapi pelbagai isu lain yang aku malas nak cerita satu persatu. Kerana akhirnya orang akan memberitahu aku yang aku ini terkena kejutan budaya. Ya! Kejutan budaya di negara sendiri! Mereka juga menyifatkan aku ni dah jadi 'pro-mat saleh' sehingga asyik kondem masyarakat dan negara sendiri. Sebab itulah aku malas nak bercerita lanjut. Sebab aku rasa memang tidak ada orang yang akan faham aku. Kecuali orang yang memang pernah hidup di luar lama. Bukan melancong setakat seminggu dua! Orang yang nampak dan celik mata hatinya. Bukan tahu nak mengampu saja. Kalau ikut rakyat kita boleh hidup dengan lebih selesa, lebih maju dan bertamadun. Tapi disebabkan pemimpin yang zalim dan salah guna kuasa rakyat yang tertindas dan merana. Dan mungkin kerana itu sebahagian dari kita juga hilang nilai adab dan sosial. Menjadikan kita rakyat pemikiran kelas ketiga!

Alamak, banyak lah pula aku membebel ni. Mentang-mentanglah di luar sana hujan turun dengan lebat sekali tanpa henti. Laju saja jari jemari menekan kekunci. Hujan turunlah lebat-lebat lagi. Sebab aku rindu dengan suasana yang dingin. Basahi hati dan jiwa ku agar aku dapat terus bertahan di daerah gersang ini. Tapi, tentu saja hanya aku yang berdoa begini sedangkan yang lain berharap hujan akan berhenti kerana takut banjir menyerang lagi!

p/s: ini cuma cetusan idea Tentang Aku tapi bukan aku walaupun berkaitan dengan diriku.



4 Responses
  1. Aida Lela Says:

    welcome back!

    tulislah lagi :)

  2. Zainur Says:

    Aida Lela: Tq! Terharunya...masih ada yang sudi berkunjung dan membaca di sini. InsyaaAllah saya akan cuba merajinkan diri...

  3. Chekgu Azrine Says:

    Salam.Dr Zainur...apa kabar

  4. khairiah hameed Says:

    salam dr.zainur. selamat kembali ke tanahair. lama betul x jenguk your blog. selamat jua akhirnya bergelar doctorate :) tahniah!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
abcs